Ummu Khadeeja's Blog

July 18, 2010

Pembahagian Tauhid

Filed under: Aqidah — Ummu Khadeeja @ 6:56 pm
Tags: , , , ,

بسم الله الرحمن الرخيم

إن الحمد لله , نحمده ونستعينه , ونستغفره , ونعوذ بالله من شرور أنفسنا , ومن سيئات أعمالنا , من يهده الله فلا مضل له , ومن يضلل فلا هادي له , وأشهد أن لاإله إلا الله وحده لاشريك له , وأشهد أن محمدا عبده ورسوله صلى الله عليه وسلم .

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,

Segala puji bagi ALLAH, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan daripada-Nya, dan kami memohon keampunan daripada-Nya. Dan kami berlindung kepada Allah daripada keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya, dan siapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Aku bersaksi bahawa tiada ILAH selain ALLAH yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan rasul-Nya.
——–
(Sambungan artikel Memahami Tuntutan Kalimah Syahadah)

Para pembaca yang dirahmati Allah,

Ulama’ – ulama’ aqidah telah membahagikan tauhid kepada 3 bahagian, yakni “Rububiyah”, “Uluhiyah”, dan “Asma’ wa Sifat”. Jadi persoalan yang ingin dirungkai pada kali ini adalah apa sebenarnya penekanan yang dibuat oleh Rasul- rasul dalam memberikan kefahaman tauhid yang sebenar kepada ummah. Apakah bahagian tauhid yang diberi penekanan oleh Rasul- rasul?

Kita perlu faham bahawa apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala menciptakan manusia, Dia telah bekalkan beberapa sifat kepada manusia bagi mengiringi kehidupan kita. Sebagai contoh, seorang ibu akan menyayangi anaknya tanpa perlu diajar. Seorang anak juga akan menyayangi ibu dan ayahnya. Itu adalah fitrah yang Allah kurniakan kepada setiap manusia. Perlu kita fahami bahawa antara fitrah terbesar yang Allah letakkan dalam jiwa manusia adalah Allah menjadikan manusia sentiasa mencari Tuhan. Perasaan ingin bertuhan, mencari tempat pergantungan dan meletakkan harapan.

Masyarakat Melayu sebelum datangnya Islam menyembah apa sahaja yang mereka rasakan besar, contohnya apabila melewati sebatang pokok, mereka kebiasaannya meminta izin “datuk, anak cucu tumpang lalu.” Orang asli juga menyembah apa sahaja yang mereka rasakan besar. Wal ‘iyyadzu billah. Hal ini jelas menunjukkan bahawa perasaan ingin mengabdikan diri pada zat yang lebih besar sudah ada dalam hati sanubari manusia.

Iman bukanlah sekadar percaya akan kewujudan Tuhan. Percaya akan kewujudan Tuhan adalah merupakan satu fitrah yang tidak perlu dijelaskan, ianya sudah ada di dalam hati setiap manusia. Pembesar komunis (seperti sedia maklum, mereka adalah atheis) apabila terlalu sakit akibat tercedera di dalam peperangan, dia menyebut nama Tuhan. Rakan mereka bertanya, “mengapakah engkau menyebut nama tuhan, tuhan itu tidak wujud.” Lantas dia menjawab, “kerana saya terlalu sakit.”

Umat Islam yang tidak pernah mendirikan solat sekalipun, andai ditakdirkan dia ditimpa penyakit dan tidak terdapat ubat untuk mengubatinya, maka secara automatik dia akan ingat pada Tuhannya. Sudah menjadi fitrah setiap manusia, apabila putus saja harapan, nescaya dia akan mencari Tuhan.

Bagaimana iman Islam?

Firman Allah: Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu”, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul). [Surah an-Nahl(16): 36]

Sepertimana yang kita sedia maklum, ibadah haji telah berlaku sejak sebelum kedatangan Nabi. Orang Arab pada setiap tahun akan datang bertawaf dan melakukan korban. Mereka (orang Quraisy yang tidak beriman) memberi makan dan minum kepada orang yang datang menunaikan haji setiap tahun. Mereka bertanya pada Nabi: “wahai Muhammad, apakah kami tidak baik? Kami telah memakmurkan Masjidil Haram, kami telah memberi minum kepada orang yang datang menunaikan haji. Maka mengapa kami dipersalahkan? Apakah iman kami masih lagi tidak sah?”

Mari kita lihat apa jawapan Allah terhadap persoalan mereka ini:

Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta bejihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. [Surah at-Taubah (9): 19]

Menurut Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah, tauhid yang dikempen oleh para Rasul ini dinamakan Tauhid Uluhiyah; yakni bukan sekadar dengan menyebut Tuhan itu wujud, tetapi dengan mendaulatkan Tuhan itu (meliputi aspek aqidah, akhlak, undang-undang, agama, dan cara ibadah yang diminta) – jika tidak melakukan demikian maka kita tidak dikatakan menunaikan tanggungjawab La ilaha illallah.

Tauhid Rububiyah pula bermaksud mengakui bahawasanya Tuhan itu wujud. Hal ini telah disepakati oleh kesemua agama termasuk agama Buddha, Hindu dan lain-lain. Sepertimana yang pernah disentuh di dalam penulisan sebelum ini, ada di kalangan penganut agama penyembah berhala yang menggunakan alasan bahawa mereka merasakan Tuhan itu terlalu mulia sehingga mereka tidak layak menyembah-Nya secara terus, maka mereka menggunakan perantaraan berhala untuk berhubung atau berkomunikasi dengan Tuhan. Ini ternyata satu perbuatan syirik yang dilaknat oleh Allah, dan Allah tidak boleh disyirikkan dengan sesuatu apa pun.

Apakah yang menyebabkan terdapat gangguan kepada tuntutan Tauhid Uluhiyah, di mana ianya kelihatan semakin pudar dalam jiwa umat?

Kita lihat kepada konsep mendaulatkan Allah. Ianya bukanlah bermaksud mendaulatkan dengan lidah atau perkataan sahaja, tetapi ia mestilah disertakan dengan tindakan, yakni melaksanakan segala tuntutan-Nya. Terdapat 2 perkara besar yang mengganggu kefahaman kita kepada aqidah dan tuntutan La ilaha illallah:

1) Fikratul Irja’ (fikiran Murji’ah)

Golongan murji’ah telah muncul sejak zaman sahabat lagi dan tidak begitu popular lagi pada zaman ini. Golongan ini mengatakan bahawa iman adalah semata-mata tasdiq (membenarkan) dengan hati, dan amalan yang dilakukan oleh seseorang tidak ada kena mengena dengan iman. (iman tiada kaitan dengan amal).

Alasan mereka: apabila kufur seseorang itu, maka amalan-amalan shalih yang dilakukannya tidak akan dapat memberi apa-apa manfaat kepadanya. Demikian orang mukmin, apa-apa amalan maksiat tidak akan dapat memberi apa-apa mudharat kepada mereka.

Ini merupakan satu konsep kefahaman yang sangat salah, di mana mereka menganggap segala maksiat atau perkara yang dilarang syarak tidak ada kaitan dengan masalah iman.

Walaupun golongan Murji’ah sudah tidak wujud, akan tetapi cara pemikiran murji’ah (fikratul irja’) ini seakan-akan sudah sebati dalam masyarakat.

BUKTI: Kita ambil muslimah yang tidak mentup aurat sebagai contoh. Apabila kita bertanya kepada mereka, “kenapa engkau tidak menutup aurat?” mereka menjawab “jangan pandang pada luaran, walaupun saya tidak menutup aurat, tetapi saya ini beriman. Jangan dilihat pada pakaian, lihatlah pada iman, iman letaknya di dalam hati..” (PETIKAN KATA-KATA MURJI’AH!!- IMAN DALAM HATI, TIADA KAITAN DENGAN AMAL)

Contoh kedua ialah orang yang bermulut laser atau gemar mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar. Apabila ditegur, mereka berkata “Walaupun aku ini bermulut laser, tetapi hatiku baik..”

Alasan-alasan yang biasa kita dengar seperti di atas membuktikan bahawa fikratul irja’ ini telah begitu subur dalam masyarakat tanpa kita sedari. Ini bukanlah aqidah ahli Sunnah sepertimana yang diajarkan. Setiap orang yang mengaku beriman mestilah melakukan amal shalih.

Bukti di dalam al-Quran yang menunjukkan iman disusuli amal shalih;

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasehati supaya menetapi kesabaran. [Surah al-‘Asr(103): 3]

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, mereka diberi petunjuk oleh Tuhan mereka karena keimanannya.. [Surah Yunus(10):9]

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh bagi mereka syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; itulah keberuntungan yang besar. [Surah al-Buruuj(85):11]

2. Golongan Sufi yang melampau

Golongan ini membuat jalan pintas terhadap iman. Mereka tidak berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah dengan tafsiran yang benar (tafsiran para salafussoleh). Mereka juga banyak mewujudkan atau mereka-reka hadith palsu yang mana kebanyakannya membuat jalan pintas ke syurga.

Contoh hadith-hadith yang direka: Barangsiapa yang solat begini, begini, sebanyak 2 rakaat, akan mendapat pahala seperti 70,000 para Nabi, atau akan masuk syurga.

Contoh lain: Barangsiapa solat tarawih pada malam sekian, sekian, akan mendapat pahala seperti sekalian para Nabi.

Hadith-hadith rekaan(palsu) seperti di atas tanpa mereka sedari telah meremeh-remehkan perjuangan dan pengorbanan yang ditempuhi oleh para Nabi dan Rasul demi menegakkan kalimah Allah. Bayangkanlah, hanya dengan bertarawih pada satu malam, ganjaran pahala yang kita dapat telah melebihi pahala sekalian Nabi dan Rasul. Bukankah ianya suatu yang mustahil? Apa perlunya dakwah, jihad dan sebagainya sekiranya pahala sudah seperti sekalian para Nabi? Tidak dinafikan terdapat banyak kelebihan melakukan solat tarawih dan ibadah sunat yang lain seperti yang disebut dalam sahih Bukhari, tetapi fadhilatnya bukanlah begitu.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya “Al-Manarul Munif” menolak hal ini dengan mengatakan bahawa selain daripada Nabi, jika kita menyembah Allah sepanjang usia Nabi Nuh sekalipun, tidak mungkin akan dapat menandingi pahala seorang Nabi pun.

Di antara ciri-ciri hadith palsu adalah dengan meletakkan ganjaran-ganjaran yang melampau tinggi untuk sesuatu ibadah seperti masuk syurga tanpa hisab, dan lain-lain ganjaran melampau seperti contoh-contoh yang dinukilkan di atas. Hadith seperti ini disebut oleh ulama’ hadith sebagai “mujazafah” (hadith yang memberikan fadhilat yang melampau). Akibat tersebarnya hadith-hadith mujazafah ini, maka akhirnya kalimah La ilaha illallah sudah tidak memberi apa-apa makna. Mana tidaknya, apabila kita mengajak orang melakukan tuntutan Islam, mereka akan menjawab “tidak mengapa, saya duduk di dalam masjid dan bertasbih, insya-Allah masuk syurga.”

Firman Allah: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? [Surah al-Ankabuut(29): 2]

Allah juga menyebut di dalam al-Quran:

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. [Surah al-Baqarah(2): 214]

Berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas, jelaslah kepada kita bahawa bukanlah sesuatu yang mudah bagi kita untuk mendapat syurga Allah. Kita perlu berusaha untuk mendapatkannya, dan diuji terlebih dahulu. Bahkan sahabat-sahabat Nabi yang telah dijanjikan syurga juga tidak sekadar duduk di masjid dan mengira buah tasbih, mereka turun ke medan untuk berjuang mempertahankan Islam, walaupun telah dijanjikan syurga.

Abu Ayyub al-Ansari yang Nabi pernah menjadi tetamu dirumahnya, Nabi telah menceritakan tentang fadhilatnya. Tetapi apabila Nabi wafat, beliau tetap meneruskan perjuangan dan berusaha membuka kota Constantinople. Sesungguhnya beliau tahu bahawa iman tidak mengajak manusia untuk duduk sahaja dan membilang buah tasbih.

Saad bin Abi Waqas (salah seorang yang dijamin syurga oleh Nabi): Setelah kewafatan Nabi, beliau masih berjuang sehingga membuka Iraq.

Kesimpulannya, Sufism yang melampau ini sebenarnya telah memandulkan umat Islam sehingga menjadikan mereka tidak memikirkan masalah umat, sekaligus membatalkan usaha La ilaha illallah yang diperjuangkan Nabi.

Wallahu al-Musta’an.

Wallahu a’lam.

Leave a Comment »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: